06 May 2011

Tanda-Tanda Besar



MUNCULNYA IMAM MAHDI

     Kebangkitan penghulu kita Muhammad SAW merupakan tanda kiamat yang sudah lama berlaku, sedangkan kemunculan Imam Mahdi nanti menandakan sudah dekat hari kiamat. Nabi kita Muhammad SAW merupakan nabi yang terakhir dan tidak ada lagi nabi sesudahnya sedangkan Imam Mahdi merupakan Imam yang terakhir dan tidak ada lagi Imam sesudahnya.

Diriwayatkan oleh Abu Naim, hadis yang diterima dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya umur dunia tinggal satu hari lagi, maka Allah memanjangkan hari itu untuk memberi peluang memimpin dunia kepada seorang lelaki dari ahli bait (keluargaku) juga, yang mana namanya sama dengan namaku dan ayahnya sama dengan nama ayahku. Dia nanti akan memimpin dunia secara adil."
    Kalau begitu Imam Mahdi yang akan datang itu namanya Muhammad atau Ahmad bin Abdullah. Membayangkan hadis Rasulullah SAW itu timbul dalam fikiranku soalan-soalan seperti berikut: "Apakah nama Imam Mahdi itu Mahmud, Mustafa atau nama-nama Rasulullah yang lain." Yang pasti,sesuai dengan hadis itu, namanya sama dengan nama Rasulullah.

     Dan juga apakah nama ayahnya Abdul Rahman, Abdul Ghafar atau lain-lain nama yang dianggap sama dengan nama Abdullah? Demikianlah, nama Imam Mahdi sama dengan nama Rasulullah SAW dan nama ayahnya sama dengan nama ayah nabi kita.

1.Nasab (keturunan) Imam Mahdi
     Imam Mahdi juga berasal dari keturunan ahli bait Rasulullah SAW. Beliau adalah pecahan dari Fatimah binti Rasulullah SAW. Ada juga riwayat yang mengatakan dari keturunan Abbas, bapa saudara Rasulullah SAW. Di sini saya tunjukkan riwayat dari Al-Dailamiy, yang diterima dari Ummul Mukminin Ummu Salamah, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Sentiasalah khalifah (pemerintahan Islam) berada di tangan anak bapa saudaraku sehingga akhirnya nanti jatuh ke tangan Dajjal."
     Ada juga riwayat dari Al-Khatib dan Ibnu Asakir, dari Ali r.a. bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Abbas: "Wahai bapa saudaraku, perlukah aku ceritakan kepadamu bahawa Allah memulakan urusan ini (agama Islam) di tanganku dan mengakhirinya di tangan anakmu."

     Riwayat seperti ini tidaklah sampai menafikan bahawa Imam Mahdi itu dari keturunan Rasulullah SAW, iaitu dari keturunan anaknya, Fatimah. Namun demikian riwayat-riwayat yang mengatakan bahawa Imam Mahdi dari keturunan Fatimah adalah lebih kuat. Ibnu Hajar berkata: "Sebenarnya tidak bertentangan antara riwayat yang mengatakan Imam Mahdi itu dari keturunan Rasulullah SAW dan dari keturunan Abbas kerana mereka juga dari keturunan yang sama."
     Kita lihat sekarang ini perkahwinan campuran sudah biasa berlaku, bahkan orang Arab berkahwin dengan bukan Arab. Namun demikian Imam Mahdi nanti datuknya yang asli adalah Rasulullah SAW. Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW ada berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Al-Mahdi adalah dari kerabatku juga, iaitu dari anak Fatimah.'"

     Dan lebih khusus dan terperinci lagi, Imam Mahdi itu dari keturunan Hasan, bukan dari Husain. Hasan dan Husain adalah anak Fatimah dan Ali bin Abi Talib. Ali Pernah melihat anaknya Hasan lalu berkata: "Anakku ini akan menjadi pemimpin, seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Dan juga nanti akan keluar dari sulbinya seorang lelaki yang bernama sama dengan nama nabi kamu. Kelakuannya sama dengan nabi kamu tetapi bentuk tbuhnya tidak sama." Kemudian Ali menceritakan keadaan Imam Mahdi yang memimpin dunia nanti secara adil dan bijaksana 

2.Kemunculannya, sifat dan lamanya memerintah
     Dari Abdullah bin Al-Hars, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Akan keluarlah manusia dari sebelah timur, lalu mereka pergi berjumpa Mahdi, yakni untuk mengikuti pemerintahannya.
     Imam Mahdi yang dipuji dan yang dijanjikan akan datang diakhir zaman itu dikatakan akan muncul dari timur kemudian mereka akan membaiatnya (melantiknya) di Makkah. Ada yang mengatakan Imam Mahdi akan muncul atau dilantik menjadi Amirul Mukminin pada usia empat puluh tahun atau antara tiga puluh dan empat puluh. Allahlah yang lebih tahu keadaan sebenarnya.
    Dari Abu Sa'id Al-Khudri, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Dalam kelompok umatku ada yang bernama Al-Mahdi. Dia akan memimpin dunia selama lima, tujuh atau sembilan tahun.

     Pada zaman Imam Mahdi nanti banyak buah-buahan, tanam-tanaman subur menjadi, banyak harta, pemerintahan keras dan berwibawa, ajaran Islam dapat ditegakkan, musuh-musuh Islam takut dan kebaikan berkekalan.
    Ka'ab Al-Ahbar berkata: "Saya ada melihat cerita Imam Mahdi dalam kitab Asfar Al-Anbiya' bahawa dalam pemerintahannya tidak ada cacat dan tidak ada kezaliman. Dia menguasai dunia seperti halnya Zulqarnain dan Nabi Allah Sulaiman."     

No comments:

Post a Comment