24 May 2011

Adab Bercakap



Dapat menjelaskan apa yang ada di dalam fikiran merupakan nikmat yang besar dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Ini kerana, manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaanNya.
Allah SWT telah menegaskan di dalam firmanNya: “(Tuhan) yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dialah yang telah menciptakan manusia, Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) member dan menerima kenyataan.” (Ar-Rahman: 55; 1-4)
     
 Nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah wajib bagi kita hargai, syukuri dan hindarilah perkara-perkara yang tidak baik.
    
Jika kita perhatikan,orang yang suka bercakap kebanyakan sebahagian percakapannya itu tidak berfaedah, bahkan mengundang bahaya untuk dirinya. Allah SWT menganugerahkan lidah supaya menggunakannya dengan berfaedah.
Allah SWT berfirman: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan member kepadanya pahala yang amat besar.” (An-Nisa’: 4; 114)
    
Islam telah memerintah supaya orang Muslim menjaga percakapan. Kerana percakapan yang keluar dari seseorang akan menunjukkan apa yang ada di dalam fikiran dan ia juga menunjukkan perangainya.
     Sebelum berbicara hendaklah kita bertanya kepada diri kita, apakah yang perlu dibicarakan? Jika sesuatu itu baik, maka teruskanlah, jika tidak, hendaklah kita diam. Menghindari percakapan yang tidak baik adalah ibadah dan akan mendapat pahala di sisi Allah SWT.
Abdullah bin Mas’ud r.a. mengatakan: “Demi llah yang tiada Tuhan selain Dia, di muka bumi ini tidak ada yang perlu lama ditahan kecuali lidah.” (HR At-Thabarani)
    
Abdullah bin Abbas  r.a. mengatakan: “Lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda gesit yang dibiarkan diam iaitu, janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu, kerana aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa, janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat. Kerana mungkin orang yang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya, tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya ianya boleh memalukan, janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar dan bijaksana atau dengan orang yang berperangai buruk. Kerana orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu dan orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu, ceritakanlah saudaramu yang tidak hadir dengan apa yang engkau ingin diceritakan olehnya dan maafkanlah dia seperti yang engkau ingin dimaafkan olehnya dan berbuatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan menghalang kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan.” (HR Ibnu Abi Dunya)
  
   Orang yang berbicara dengan tidak berfaedah dia akan kehilangan arah. Orang yang suka bercakap juga, kadang-kadang apa yang keluar dari percakapannya itu tidak seperti apa yang dia fikirkan, oleh itu berhati-hatilah dalam percakapan.
     Rasulullah s.a.w. telah member nasihat kepada Abu Dzar ialah: “Hendaklah engkau diam, kerana perkara itu akan dapat mengusir syaitan dan membantumu dalam urusan agamamu.” (HR Ahmad bin Hanbal)

     Orang yang tidak dapat menguasai lidah, hatinya juga tidak akan tenang. Kotoran itu akan terus menumpuk sehingga membuat orang yang tidak bahagia.
     Mengenai kaitan lidah dengan hati, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Iman seseorang hamba Allah tidak akan lurus sebelum hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sebelum lidahnya lurus.” (HR Ahmad bin Hanbal)

     Tahap pertama untuk menjaga lidah ialah, jangan mencampuri urusan orang lain dan jangan melibatkan diri dalam soal-soal yang bukan menjadi tanggungjawab kita.
     Rasulullah sa.w. telah bersabda: “Meninggalkan sesuatu yang bukan urusannya termasuk daripada iman.” (HR At-Tirmizi)
     Menjauhkan diri daripada bercakap kosong termasuklah cara untuk memperoleh keuntungan dan tanda-tanda kesempurnaan perangai seseorang.

     Allah SWT telah berfirman mengenai dua kewajipan yang diperintahkan oleh Islam iaitu solat dan zakat sebagaimana berikut: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan akat harta itu).” (Al-Mu’minuun: 23: 1-4)
     Islam tidak suka membuat sesuatu yang tidak mendatangkan faedah, bahkan ia membuang masa tanpa mendapat sesuatu hasil.

     Tingginya martabat seorang Muslim di sisi Allah bergantung sejauh mana dia dapat menghindarkan diri dan percakapan yang tidak berguna.
Anas bin Malik meriwayatkan: “Ada seorang meninggal dunia. Rasulullah s.a.w. mendengar ada orang lain berkata: ‘Bahagialah dia kerana akan masuk syurga.’ Baginda kemudian menanggapi perkataan orang itu: ‘Bagaimana engkau tahu?’ Mungkin dia banyak berbicara tentang sesuatu yang tidak perlu atau kikir mengenai sesuatu yang sebenarnya tidak akan merugikannya.” (HR At-Tirmizi)

     Orang yang suka bercakap perkara ang tidak berfaedah, maka dia adalah orang yang lemah hubungan fikiran dengan lidahnya, bercakap sesuka hati boleh menghancurkan masa depan sebagaimana pepatah yang mengatakan: ‘Barang siapa banyak bercakap maka banyak salah’.”
     Seorang penyair juga telah mengatakan: “Manusia mati kerana lidahnya bukan mati kerana terantuk kakinya.”

     Rasulullah s.a.w bersabda: “Seorang hamba Allah yang mengucapkan kata-kata hanya sekadar untuk ditertawakan orang, dengan kata-katanya itu dia akan terlempar jauh di antara langit dan bumi. Seseorang lebih menderita akibat tergelincir lidahnya daripada tergelincir kakinya.” (HR Al-Baihaqi)

     Seseorang Muslim hendaklah membiasakan lidahnya mengucapkan kata-kata yang baik. Al-Quran telah menjelaskan bahawa, kata-kata yang baik adalah perjanjian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada Bani Israel pada zaman Nabi Musa a.s. sebagaimana Allah SWT berfirman: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): ‘Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesame manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat.” (A;-Baqarah: 2: 83)

     Kata-kata yang baik akan dapat memelihara perhubungan persaudaraan sebagaimana Allah SWT telah berfirman: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran), sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang Mukmin dan yang menentang), sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (Al-Isra’: 17: 53)

     Syaitan sentiasa menghasut manusia supaya terjerumus kepada perkara yang tidak baik, ia juga berusaha untuk menghancurkan manusia dengan berlakunya pertumpahan darah dan sebagainya, maka dengan berkata sesuatu yang baiklah kita dapat menhindari perkara itu berlaku.

     Allah SWT berfirman: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat: 41: 34)
 Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Kalian tidak akan dapat menarik hati orang dengan harta kekayaan. Kerana itu hendaklah setiap orang dari kalian supaya menarik hati dengan air muka cerah dan perangai yang baik.” (HR Al-Bazar)

     Diam adalah lebih baik daripada mengeluarkan kata-kata yang kasar.

     Allah SWT berfirman: “(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.” (Al-Baqarah: 2: 263)

     Berkata dengan perkataan yang baik merupakan kebajikan serta mendekatkan diri seseorang kepada Allah dan akan memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

     Anas r.a. meriwayatkan: “Ada seorang berkata kepada Rasulullah s.a.w.: ‘Ya Rasulullah, beritahulah aku perbuatan apa yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga.’ Baginda menjawab: ‘Berilah makan kepada orang-orang miskin, ucapkan salam, sembahyanglah pada waktu malam pada masa orang sedang tidur. Engkau akan masuk syurga dengan selamat.” (HR Al-Bazar)

     Allah SWT memerintahkan kita supaya meyakinkan pemeluk agama lain tentang kebenaran Islam dengan cara yang baik dan lemah lembut, jika orang yang jahat dan berlaku zalim terhadap kita. Maka kita harus menentang kezaliman dan menghentikan sikap permusuhannya.

     Allah SWT telah menegaskan dalam firmanNya: “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka.” (Al-Ankabut: 29: 46)

     Malik telah meriwayatkan, dia mendengar daripada Yahya bin Sa’id bahawa, Rasulullah s.a.w. pernah menceritakan: ‘Pada suatu hari, Nabi Isa a.s. terjumpa seekor babi di tengah jalan, kemudian beliau berucap: ‘Pergilah engkau dengan selamat.’ Orang yang bersama menyertainya beliau hairan terus bertanya: ‘Mengapa engkau ucapkan kata-kata begitu kepada seekor babi?’ Nabi Isa a.s. menyahut: ‘Aku takut kalau-kalau lidahku terbiasa mengucapkan kata-kata buruk.’”

     Ada juga di kalangan manusia yang berperangai buruk, tidak dapat mengendalikan diri dari perbuatan yang tidak patut dilakukan, tidak mempunyai rasa perikemanusiaan untuk melakukan perkara yang baik serta tidak segan membuat sesuatu yang tidak menyenangkan orang lain. Orang seperti ini, jika dia dapat memuaskan tabiatnya dengan kata-kata, maka dia tidak peduli apa akibat yang akan berlaku dari percakapanya itu.

     Pernah terjadi peristiwa, ada orang berdiri di hadapan kediaman Rasulullah s.a.w., kemudia baginda ingin masuk menemui mereka dengan berniat hendak bercakap dengan baik agar mereka meninggalkan tempat itu, hanya dengan bersabar sajalah yang dapat membuat orang yang suka bercakap itu diam. Jika orang itu dibiarkan bercakap mengikut perasaannya, maka baginda akan mendengar sesuatu yang baginda tidak suka mendengarnya.

     Siti Aisyah r.a. telah meriwayatkan: “Seorang telah meminta izin masuk bertemudengan Rasulullah s.a.w. maka Rasulullah s.a.w. berucap: ‘Dia seorang yang tidak baik.’ Ketika orang itu masuk, Rasulullah s.a.w. menyambutnya dengan baik dan dengan tutur kata lemah-lembut. Setelah  dia pergi, aku(Siti Aisyah r.a.) berkata kepada Rasulullah s.a.w: ‘Ya Rasulullah, semasa engkau mendengar orang itu hendak masuk, engkau mengatakan dia seorang yang tidak baik, tetapi engkau menyambutnya dengan baik!.’ Rasulullah s.a.w. mejawab: ‘Wahai Aisyah pernahkah engkau melihat aku bersikap kasar?’ Sesungguhnya orang yang memperoleh kedudukan paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang disisihkan oleh masyarakat kerana khuatir dengan kejahatannya.” (HR Al-Bukhari)

     Orang yang baik tidak akan hilang akhlaknya dengan bersikap baik terhadap orang yang tidak berakhlak, walaupun dia telah berusaha mendidik orang yang tidak berakhlak. Oleh kerana itu, dalam Al-Quran memandang sikap lemah-lembut sebagai sifat utama yang perlu dimiliki oleh hamba Allah.

    Allah SWT berfirman: “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Al-Furqan: 25: 63)
“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripanya sambil berkata: Bagi kami amal kami dan bagi kami pula amal kamu, selamat tinggallah kamu, kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil.” (Al-Qasas: 28: 55)

     Ada orang yang dapat menahan kemarahannya, tetapi ada juga  masa yang mereka tidak boleh bersabar, maka ketika ini akan berlaku perkara-perkara yang tidak baik. Tetapi Islam menuntut orang Muslim supaya banyak bersabar dan jangan terlalu mengikut perasaan.

     Mengenai perkara ini, Sa’id bin Al-Musayyib meriwayatkan: “Semasa Rasulullah s.a.w. sedang duduk bersama sahabatnya, ada salah seorang mengolok-olok dan mengganggu Abu Bakar r.a., tetapi Abu Bakar diam. Beliau diganggu sebanyak dua kali, beliau tetap diam, setelah berlaku kali ketiga, Abu Bakar marah. Rasulullah sa.w. kemudian berdiri. Abu Bakar bertanya: ‘Ya Rasulullah, adakaha engkau marah kepadaku?’ Baginda menjawab: ‘Tidak, tetapi tadi ada malaikat turun dari langit mendustakan apa yang dikatakan oleh orang itu (orang yang mengganggu Abu Bakar). Setelah engkau marah, malaikat pergi dan datanglah syaitan. Aku tidak mahu duduk apabila syaitan turun duduk di sini.’” (HR Anu Daud)

     Bersikap lembut terhadap orang yang berperangai buruk tidak bererti kita membenarkan sikap mereka. Tetapi ia bererti kesanggupan kita mengendalikan diri terhadap kemarahan. Sedangkan sikap membenarkan perangai yang buruk merupakan tanda kebodohan seseorang. Bagaimanapun, membenarkan sesuatu yang buruk tidak dapat diterima oleh orang yang berakal.

     Al-Quran dengan jelas menyatakan bahawa, bersikap lebut terhadap orang yang berperangai buruk adalah perkara yang baik dan mencela orang yang membenarkan sikap yang buruk.

     Allah SWT berfirman: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah SWT sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu meahirkan sesuatu perkara kebaikan atau menyembunyikan atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (An-Nisa’: 4: 148-149)

     Pandangan Islam dalam menjauhi berlakunya persengketaan ialah dengan melarang berdebat. Kerana perdebat akan berlaku perkara yang menyakitkan jiwa, mendorong perasaan untuk mengalahkan orang lain.

     Dengan demikian, setiap orang yang berdebat ingin mendapat kemenangan walaupun sesuatu yang dimenangi itu tidak menunjukkan kebenaran. Maka dalam keadaan seperti itu, sikap suka menentang dan mementingkan diri sendiri akan timbul perkara yang baik dan dalam perdebatan itu tidak akan berlaku dengan tenang.

     Islam memerintahkan orang Muslim supaya jangan berdebat, Islam memandangnya sebagai bahaya yang dapat merosak keselamatan agama dan akan merosakkan akhlak seseorang.

     Sehubungan dengan itu, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa meninggalkan perdebatan dalam keadaan keliru, akan dibuat rumahnya di pinggiran syurga dan yang meninggalkan perdebatan dalam keadaan pihak yang benar akan dibuat untuknya rumah di tengah syurga dan bagi yang berakhlak baik akan dibuat untuknya rumah bahagian teratas di dalam syurga.” (HR Abu Daud)

     Orang yang petah bercakap juga sering tersilap dalam percakapannya. Islam mjelarang orang-orang yang panjang lidah dan ringan mulut dengan bercakap sesuatu sesuka hati atau mengeluarkan kata-kata yang tidak baik.

     Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang paling tidak disukai oleh Allah ialah  orang yang paling keras melancarkan permusuhan.” (HR Al-Bukhari)
“Suatu kaum yang telah memperolehi hidayah tidak akan sesat kecuali setelah mereka terlibat dalam perdebatan.” (HR At-Tirmizi)

     Orang yang suka berdebat selalu membanggakan diri yang paling penting ialah kata-katanya, apa yang keluar dari percakapannya itu merupakan perkara kedua. Sedangkan apa yang kita perlu fikirkan ialah percakapan yang kita luahkan terhadap seseorang, adakah ia baik atau sebaliknya.

     Pernah berlaku suatu peristiwa, ada seorang yang suka membangga diri dating kepada Rasulullah s.a.w. dengan menunjukkan penampilan yang baik. Apabila Rasulullah s.a.w. bercakap, dia mengganggu ucapan Rasulullah s.a.w. . Setelah orang itu pergi Rasulullah s.a.w. berkata: “Allah SWT tidak suka kepada orang itu dan orang-orang seperti dia. Iaitu orang-orang yang suka melepaskan lidahnya kepada orang lain seperti lembu yang meraung di tengah padang. Orang seperti itu lidah dan mukanya akan dibenamkan oleh Allah SWT ke dalam api neraka.” (HR At-Thabarani)

     Berdebat mengenai agama, politik, tentang ilmu pengetahuan dan lain-lain, jika dilakukan oleh orang-orang seperti itu, nescaya akan rosaklah agama. Mungkin perdebatan yang mereka lakukan itulah yang mengakibatkan rosaknya kesejahteraan umat, munculnya berbagai mahzab fiqh dan lahirnya golongan yang berpecah belah.

     Berdebat bukan suatu jalan yang baik untuk mendapat sesuatu kebenaran. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. Mereka mengatakan:  “Semasa kami sedang berdebat mengenai soal agama, Rasulullah s.a.w. dating kepada kami dan memarahi kami, kami tidak pernah melihat baginda marah seperti itu.”

     Semasa kami hendak keluar, baginda segera berkata: “Wahai Umat Muhammad, berhati-hatilah! Orang-orang sebelum kalian dahulu binasa kerana perbuatan seperti itu. Tinggalkan perdebatan. Kerana orang beriman tidak patut berdebat! Tinggalkan perdebatan, kerana orang yang berdebat akan memperolehi kerugian. Tinggalkan perdebatan, kerana perdebatan akan mendatangkan dosa bagi orang selagi dia berdebat. Pada hari kiamat aku tidak akan member syafaat kepada orang yang gemar berdebat. Tinggalkan perdebatan. Aku akan menjamin tiga buah rumah di dalam syurga di tengahnya ad ataman-taman dan dibahagian atasnya tersedia bagi orang yang menjauhkan diri dari perdebatan dalam keadaan ia benar. Tinggalkan perdebatan kerana perkara pertana yang aku di larang oleh Tuhanku sesudah penyembahan berhala ialah berdebat.” (HR At-Tirmizi)

No comments:

Post a Comment