09 May 2011

JAGA ADAB KETIKA BERGURAU




KEHIDUPAN zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan kurangnya waktu diperuntukkan untuk bersantai menjalin hubungan silaturahim sesama sendiri.
Usahkan dengan jiran tetangga, malah ahli keluarga sendiri pun ada kalanya payah untuk bergurau senda. Ada kala lucu pula apabila mengingatkan betapa pergerakan manusia hari ini terbatas oleh tuntutan tanggungjawab melampaui masa yang ada.
Justeru, ramai yang memaksimumkan manfaat hubungan maya untuk melanjutkan komunikasi dan bertanya khabar. Malah, ada ibu bapa yang hanya sempat bertegur sapa dengan anak di laman sosial saja.
Itu tidak bermaksud melanjutkan bicara mengenai komunikasi era ini, tetapi naluri manusia memerlukan gurau senda untuk mengeratkan hubungan baik dan merapatkan silaturahim. Bukan saja mengelakkan kesunyian, gurau senda juga memudahkan komunikasi, membuatkan bicara tidak formal.
Walaupun gurau senda membantu menguatkan kasih sayang, ia juga boleh meranapkan silaturahim jika gurau senda menyebabkan ada pihak berkecil hati. Ada antara kita bergurau tanpa menyedari ada hati terluka.
Sebab itu banyak contoh ditonjolkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat mengenai gurau senda yang membuatkan orang ketawa dan berkisar kepada perkara yang benar. Rasulullah SAW tidak mencipta kisah lucu yang sia-sia semata-mata untuk membuatkan orang ketawa kerana Baginda takut ketawa menyebabkan umat Islam lalai daripada mengingati Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Dari Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya banyak ketawa itu mematikan hati.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)



Jangan berlebihan dalam bergurau senda sehingga menyebabkan ada orang terasa dirinya diaibkan atau dijadikan misalan sehingga memalukan dirinya. Sebaliknya, gurau senda dijadikan salah satu cara menghiburkan hati yang lara atau menyenangkan orang berduka.
Tetapi perlu diingat, gurau senda itu mestilah berkenaan perkara yang benar. Gurauan boleh menyebabkan seseorang mendapat pahala atau dosa.
Contohnya, jika gurauan boleh menyenangkan hati, mengeratkan silaturahim dan perpaduan serta kasih sayang, maka gurauan itu menjadi perbuatan baik yang diganjarkan dengan pahala dari Allah SWT.
Sebaliknya jika gurauan menjadi alasan untuk menyakitkan hati seseorang, ia sudah tentu menjadi perbuatan yang dikutuk Allah SWT. Jangan pula tabiat bergurau senda untuk menyakitkan hati orang lain menjadi kebiasaan menyebabkan seseorang itu tiada rasa bersalah mengutuk atau menghina.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain kerana harus puak dicemuh itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan perempuan lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang yang zalim.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 11)

Contoh paling baik ialah gurauan Rasulullah SAW kerana Baginda masih mengekalkan had dan batasan antara lelaki dan wanita serta menyelitkan unsur nasihat bertujuan mengingatkan manusia kepada Allah.
Sudah tentulah gurau senda tetap tidak mengizinkan perlakuan tidak manis antara lelaki dan wanita, seperti menyebut perkataan memalukan mana-mana pihak, menghina atau meniru suara atau kata-kata orang lain dengan niat merendah-rendahkan atas faktor perbezaan jantina.
Antara senda gurauan Rasulullah SAW seperti diceritakan al-Hasan, seorang perempuan tua datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga. Maka Rasulullah SAW bersabda: Wahai ibu pulan! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga. Lalu menangislah si perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah SAW bersabda: Khabarkan kepada perempuan itu sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua.”

Lalu dibacakan firman Allah SWT yang maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta Kami jadikan mereka sentiasa dara, yang tetap menjadi jodohnya serta sebaya umurnya.”

No comments:

Post a Comment