07 May 2011

MENINGGALKAN SOLAT FARDU



Meninggalkan Solat Fardu


     Meninggalkan solat fardu lima waktu boleh menyebabkan runtuhnya tiang agama. membatalkan iman dan hak sesama Islam. Kata al-Qaffal, "Meninggalkan solat bererti memberi mudarat kepada seluruh kaum Muslimin, kerana orang yang bersolat itu memohon ampun untuk diri dan orang-orang mukmin."
     Apabila seseorang Muslim meninggalkan solat fardu, bererti dia telah melengahkan hak Allah, hak Rasul, hak dirinya dan hak seluruh umat Islam. Justeru itu amat besarlah dosanya atau maksiatnya ke atas orang yang meninggalkan solat.

     Perbuatan meninggalkan solat membawa kepada tertolaknya atau terbatalnya segala amal yang lain kerana solat itu Imadul Islam, tiang Islam. Ibadah-ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji diteroma bergantung kepada diterimanya solat. Apabila solat ditolak bererti semuanya ditolak.


Firman Allah SWT: "Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang mensia-siakan solat dan menurut hawa nafsunya, maka kelak mereka akan menemui kejahatan." (Maryam: 59)

Firman Allah SWT: "Maka celakalah orang-orang mengerjakan solat, iaitu orang-orang yang melalaikan solatnya." (Al-Ma'un: 4-5)

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa meninggalkan solat Asar nescaya dia akan merosakkan amal." (H.R. Bukhari)

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa meninggalkan solat dengan sengaja maka tidak ada jaminan baginya dari Allah." (H.R. Baihaqi dan Ibnu Majah)

     Kata sebahagian ulama salaf, seseorang yang terus-menerus meninggalkan solat dengan tiada merasa keberatan apa-apa, tidak merasa kesal dan kecewa serta tidak merasa perlu bertaubat, maka seseorang itu dipandang dan dihukum kafir atau binasalah imannya.

     Menurut Imam Nawawi, "Orang yang meninggalkan solat dengan jalan mengingkari kewajipannya, dipandangtelah menjadi kafir, keluar dari millah (agama) Islam dengan ijmak ulama Islam, kecuali kalau seseorang itu baru masuk Islam dan belum mengetahui hukum kewajipan solat itu".

     Imam Ahmad dan Ishak juga berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat, hukumnya kafir dan boleh dibunuh selaku orang kafir. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perbezaan antara hamba (yang beriman dan kafir) ialah meninggalkan solat." (H.R. Muslim)

Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janji antara kami dengan mereka (orang kafir) ialah solat, barang siapa yang meninggalkan solat maka dia benar telah kafir." (H.R. Abu Daud, At-Tirmidzi dan Nasai)

     Solat merupakan amalan utama dan pertama akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat nanti, jika ia rosak maka rosaklah segala amalan lain dan akan mendapat azab neraka.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Amal seseorang hamba yang pertama akan dihisab kelak ialah solat, maka jika solatnya rosak maka amal lainnya akan rosak." (H.R. Tabrani)

Firman Allah SWT: "Apakah sebab kamu masuk neraka? Jawab mereka: Kami tidak mengerjakan solat." (Al-Muddaththir: 42-43)

   

No comments:

Post a Comment