05 May 2011

Mahram Bagi Wanita

Mahram bagi wanita adalah mereka yang boleh memandangnya, berdua dengannya, melakukan safar (perjalanan) bersama, diharamkan bernikah dengannya untuk selamanya dengan sebab fitrah yang menjadikannya mahram.
Siapakah Mahram yang dibolehkan menampakkan sebahagian aurat kepadanya dan diharamkan berkahwin dengannya?
Allah s.w.t berfirman:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan (menjaga) pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan (memanjangkan) kain tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera (anak-anak lelaki) mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”.” (Surah An-Nuur, 24:31)
Dalam ayat ini Allah s.w.t menjelaskan bolehnya mahram melihat bahagian perhiasan (aurat tertentu) dari tubuh wanita.
“…dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau…”
Di antara hikmah bolehnya wanita tidak menutup bahagian aurat tertentu di hadapan mahram adalah bagi memudahkan pelbagai urusan mereka. Di mana antaranya mereka sentiasa berada bersama bercampur-baur di dalam rumah yang sama.
Daripada ayat tersebut, Allah s.w.t memulakannya berdasarkan turutan berikut:
1. Suami.
2. Bapa, termasuk datuk. Termasuk datuk dari pihak ibu.
3. Bapa suami (bapa mertua).
4. Anak-anak mereka dan anak-anak suami mereka. Termasuklah cucu dan seterusnya.
5. Saudara secara mutlak, sama ada saudara kandung (adik-beradik), saudara se-bapa, saudara se-ibu, dan seterusnya ke bawah.
6. Anak-anak saudara lelaki (anak saudara) dan anak-anak saudara perempuan.
7. Pakcik dari pihak ayah atau dari pihak ibu. Mereka termasuk di dalam cakupan mahram, walaupun tidak termasuk di dalam ayat tersebut.
Terdapat sebahagian ulama menyatakan bahawa pakcik dari pihak ayah atau dari pihak ibu tidak termasuk mahram yang dibolehkan untuk tidak menutup aurat. Ini adalah berdasarkan daripada atsar yang diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir dari ‘Ikrimah ketika menafsirkan ayat 31 dari surah an-Nuur, Ia (‘Ikrimah) berkata, “Pada ayat ini Allah tidak menyebutkan pak cik dari pihak bapa atau pak cik dari pihak ibu. Kerana hukum pakcik dari pihak bapa atau pakcik dari pihak ibu mengikuti putera-putera pak cik mereka (sepupu). Dengan demikian, mereka tidak boleh melepaskan khimar (tudung) ketika berhadapan dengan pakcik dari pihak bapa atau pakcik dari pihak ibu.” (Ibnu Abi Syaibah, al-Mushannaf, 4/338. Lihat: Tafsir Ibnu Katsir)
Namun, (lebih tepat) kebanyakan ulama berpendapat bahawa mereka (Pakcik dari pihak ayah atau dari pihak ibu) adalah sama hukumnya dengan mahram yang lainnya dengan berdalilkan hadith dari Aisyah r.a: “Bahawasanya Aflah, saudara Abul Qu’ais (iaitu pak cik sepersusuannya) datang meminta izin untuk menziarahinya (menemuinya) setelah diturunkan ayat Hijab. Aisyah r.a berkata, “Aku tidak mengizinkannya”. Ketika Rasulullah s.a.w datang, aku menceritakan apa yang telah aku lakukan. Ternyata beliau menyuruhku supaya mengizinkannya menemuiku.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
8. Mahram kerana sepersusuan juga tidak disebutkan melalui ayat terebut. Namun, para ulama berhujjah dengan hadith dari Aisyah tadi dan bersepakat bahawasanya mereka sama seperti mahram yang lainnya.
9. Mereka yang diharamkan bernikah dengannya untuk selamanya seperti ibu/bapa kepada suami/isteri dan suami kepada ibu mereka (iaitu suami kepada ibu yang telah bersetubuh dengan ibu).
Mahram Sementara Yang Diharamkan Berkahwin Dengannya (Namun tidak semestinya boleh menampakkan aurat kepadanya)
Allah s.w.t berfirman:
“Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu, anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan, saudara-saudara ibumu yang perempuan, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang laki-laki, anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan, ibu-ibumu yang menyusui kamu, saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu isterimu (mertua), anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengawininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu), dan menghimpunkan (dalam perkawinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. dan (diharamkan juga kamu mengawini) wanita yang bersuami, kecuali budak-budak yang kamu miliki (Allah telah menetapkan hukum itu) sebagai ketetapanNya atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu untuk dikawini bukan untuk berzina. Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri) di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban, dan tiadalah mengapa bagi kamu terhadap sesuatu yang kamu telah saling merelakannya, sesudah menentukan mahar itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah An-Nisaa’, 4:23-24)
Batasan Aurat Yang Boleh dilihat Oleh Mahram
Mahram boleh melihat sesuatu yang biasa nampak dari aurat seseorang wanita seperti anggota-anggota wuduk. Daripada Ibnu Umar r.a, ia berkata: “Dahulu kaum lelaki dan wanita pada zaman Nabi s.a.w melaksanakan wuduk secara bersama-sama.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dapat difahami daripada peristiwa ini ia adalah khusus bagi para isteri dan mahram. Menurut Ibnul Jauzi: “Di dalam hadis tersebut terdapat suatu penjelasan yang menunjukkan bahawa seseorang lelaki boleh melihat anggota-anggota wuduk bagi mahramnya, demikian juga sebaliknya.” (Ibnul Jauzi, Jami’ Ahkam an-Nisaa’, 4/195)
Kesimpulannya, wanita dibenarkan tidak menutup di bahagian tertentu pada auratnya apabila berdepan dengan mahram. Dan wajib mengenakan penutupan aurat dengan sempurna kepada selain mahram iaitu kepada sebagaimana individu yang dijelaskan di atas.

No comments:

Post a Comment