07 May 2011

KUFUR TERHADAP ALLAH


Kufur Terhadap Allah

     Kufur bererti tidak percaya atau ingkar terhadap Allah dan menolak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. sama ada secara keseluruhan atau sebahagian sahaja. Mereka yang kufur disebut kafir. Orang Islam yang tidak mengamalkan atau mengingkari segala perintah Allah dan rasulNya akan rosaklah iman dan Islamnya.

Para ulama membahagikan kufur kepada empat kategori:

a.Kufur akidah, iaitu mengingkari salah satu rukun iman dan syariat yang dibawa oleh para rasul sehingga mereka menjadi golongan zindik, mulhid dan munafik. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada Allah dan RasulNya dan hendak membezakan antara Allah dan RasulNya, mereka berkata: Kami beriman kepada sesetengah rasul dan kufur kepada yang lain dan mereka hendak mengambil jalan tengah antara demikian itu." (An-Nisa': 150)

b.Kufur terhadap syariat, iaitu menolak kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. seperti menolak hukum-hukum di dalam al-Quran, meragui adanya hidup semula di akhirat dan sebagainya. Firman Allah SWT: "Adakah hukum jahiliah yang mereka tuntut? Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada (hukum) Allah bagi kaum yakin?" (Al-Maidah: 50)

Firman Allah SWT: "Katakanlah, kamu khabarkan kepadaku, jika ia (al-Quran) dari sisi Allah, kemudian kamu ingkarinya, maka siapakah yang lebih sesat dari orang yang dalam perselisihan yang jauh itu." (Al-Fussilat: 52)

c.Kufur terhadap nikmat Allah, iaitu mengingkari segala kenikmatan yang ada kononnya berkat ketekunan, usaha dan kepandaiannya dan bukan datang dari Allah. Kemudian segala nikmat yang dimiliki dipergunakan pada jalan yang batil dan idak diredai Allah. Firman Allah SWT: "Ketika Tuhanmu memberitahu: Demi, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambah nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kufur sesungguhnya seksaanKu amat keras." (Ibrahim: 7)

Firman Allah SWT: "Allah memberi satu contoh, suatu negeri yang aman tenteram, datang rezeki kepadanya bertimbun-timbun dari setiap tempat, kemudian penduduk negeri itu ingkar akan nikmat Allah, lalu Allah merasakan kepadanya kelaparan dan ketakutan disebabkan perbuatan mereka itu." (An-Nahl: 112)

d.Kufur akhlak, iaitu melakukan perbuatan yang dilarang Allah dan bertentangan dengan syariat Islam seperti berpakaian tidak menutup aurat, wanita berpakaian lelaki dan lelaki berpakaian wanita, memakai rambut palsu dan melukis pada badan atau bertatu. Firman Allah SWT: "Katakanlah kepada wanita-wanita beriman supaya mereka merendahkan pandangannya dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang biasa lahir daripadanya (muka dan tangan) dan hendaklah tutupkan tudung ke leher." (An-Nur: 31)

Firman Allah SWT: "Tetaplah kamu dalam rumahmu dan janganlah berhias seperti hiasan wanita jahiliah yang dahulu." (Al-Ahzab: 33)

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah melaknat wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai wanita." (H.R. Ahmad, Abu Daud Dan Ibnu Majah) 



Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah melaknat orag-orang yang menyambung rambutnya dan disambung (minta disambung) rambutnya." (H.R. Bukhari dan Muslim)



Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w. bersabda, dari Ibnu Umar r.a. bahawa: "Bahawa Rasulullah s.a.w. melaknat orang yang menyambung rambutnya, yang meminta sambung rambutnya, orang yang bertatu dan orang yang minta ditatu pada kulitnya (badannya)." (H.R. Bukhari dan Muslim)

 

No comments:

Post a Comment