03 May 2011

Kenduri Kahwin Orang Sunnah Yang Melanggar Sunnah




Ramai anak-anak muda Islam yang berhasrat untuk bernikah merasa ghairah dengan impian masing-masing untuk mengadakan kenduri kahwin mereka mengikut ajaran sunnah. Malangnya mereka sendiri terkeliru dan tidak tahu bagaimanakah bentuk kenduri kahwin yang mengikut sunnah Nabi SAW.

Ada yang berkata kenduri kahwin mengikut sunnah itu ialah dengan mendapat restu ibubapa, ada yang berkata kenduri kahwin sunnah itu pula adalah dengan mengadakan jamuan kambing kerana Nabi suruh mengadakan walimah (kenduri nikah) walaupun dengan seekor kambing.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : “ Adakanlah Walimah (kenduri kahwin) sekalipun dengan seekor kambing.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kambing bukan ukuran sunnah

Walimah atau kenduri kahwin dianjurkan oleh Islam untuk dilaksanakan sebagai tanda kesyukuran oleh pihak pengantin kerana telah diberikan oleh Allah SWT dengan rezeki pernikahan. Maka penganjuran walimah (kenduri nikah) ini dilakukan semata-mata sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT dan untuk berkongsi nikmat kebahagiaan dan kegembiraan dengan orang-orang lain.

Apabila disebut sebagai tanda kesyukuran, maka ianya tidak pernah dihadkan oleh Allah SWT dan juga oleh Rasulullah SAW akan batas-batas nilai kendurinya tetapi sebaliknya diberikan kemudahan kepada umat Islam untuk mengadakan majlis kesyukuran nikah atau disebut sebagai walimah dan kenduri nikah ini menurut kemampuan diri mereka sendiri.

Allah SWT berfirman : “Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya.” (Al-Mukminun : 62)

Rasulullah SAW sendiri pernah mengadakan majlis kesyukuran atau kenduri kahwin dengan hanya menjamu kurma yang telah dibuang bijinya dan dicampur susu atau gandum kepada para sahabat radiallahuanhum sempena perkahwinan baginda dengan Shofiyah binti Huyai bin Akhtab.

Oleh yang demikian, suka sekali saya katakan bahawa Sunnah yang pertama bagi kenduri kahwin ialah “Menzahirkan Kesyukuran kepada Allah SWT” melalui jamuan makan kepada orang ramai dan memiliki rasa berterima kasih serta menghargai nikmat perkahwinan yang telah diberikan sebagai amanah Allah swt untuk saling bantu-membantu di atas taqwa bagi melayari bahtera rumahtangga.

Syukur tidak bernilai jika ada perbuatan kufur

Macam mana anda boleh mengatakan bahawa jamuan pernikahan ini sebagai syukur dan menzahirkan rasa terima kasih kepada Allah SWT apabila keluarga pengantin lelaki dan keluarga pengantin perempuan sejak dari awal-awal lagi kufur kepada Allah SWT dan tidak menghargai nikmat ukhuwah dan perkenalan anak-anak mereka dengan meletakkan harga maskahwin dan belanja hantaran nikah yang begitu tinggi kerana beranggapan status dan kedudukan anak-anak mereka perlu diberi perhatian dengan menjadikan hantaran mahal dan belanja nikah sejajar dengan kedudukan.

Siapa anda berbanding Nabi ? Siapa anak gadis anda berbanding anak-anak Rasulullah ? Sedang Fatimah kekasih hati Rasulullah pun bernikah dengan belanja sekadar hasil gadaian dari baju besi !

Syukurlah kepada Allah SWT kerana telah menyelamatkan anak-anak anda daripada dosa zina, syukurlah kepada Allah SWT kerana telah menemukan jodoh kepada anak-anak gadis anda dengan lelaki yang sudi menikahi dan menjaganya. Buktikanlah tanda syukur dengan mempermudahkan nikah mereka dan mengurangkan belanja perkahwinan mereka agar tidak sampai kepada membebankan bakal pengantin lelaki dan keluarga pasangan.

Rasulullah SAW pernah bersabda : “Sebaik-baik pemberian mahar adalah yang paling memudahkan.” (Hadis riwayat Hakim)

Manakala dalam hadis yang lain menyebut tentang betapa Islam mengalakkan mempermudahkan urusan agama seperti kenduri kahwin dan sebagainya agar ianya dapat dilaksanakan sekadar menurut kemampuan manusia sehingga tidak perlu dan tidak patut urusan teknikal seperti ini menjadi sebab-sebab halangan pernikahan.

Maka zahirkanlah kesyukuran wahai ibubapa dengan memudahkan urusan mengadakan kenduri perkahwinan ini sekadar kemampuan pihak yang menganjurkannya kerana itulah sunnah Rasulullah SAW.

Jauhilah pembaziran dan kemewahan yang tidak perlu kerana sesungguhnya seburuk-buruk belanja pernikahan ialah pada jalan kemasyhuran dan kebesaran yang membawa kepada kemurkaan Tuhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu berbelanja secara boros terhadap hartamu. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Al-Isra : 27)

Sabda Rasulullah SAW : “ Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong sekalipun hanya sebesar zarah.” (hadis riwayat Muslim)

Usahlah bersombong dan berbongkak dengan majlis keraian dan sambutan pernikahan yang meriah dan gemilang kerana kebahagiaan anak-anak dan mereka yang bernikah bergantung kepada keredhaan Allah SWT bukannya kepada kegemilangan majlis tersebut.

Yang kebulur tidak dijemput yang kenyang dan gemuk itu pula yang diajak datang

Sudah jadi budaya orang zaman sekarang apabila mereka berasa mulia dengan kedatangan orang-orang kaya dan pembesar-pembesar manusia di dalam majlis mereka sekalipun dikalangan muda-mudi yang bernama sunnah.

Sedangkan baginda Rasulullah SAW pernah bersabda : “Janganlah bersahabat kecuali dengan orang-orang yang beriman dan janganlah memakan hidangan kamu kecuali orang yang bertaqwa.” (hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Jemputlah orang yang bertaqwa, anak-anak orang susah dan janda serta fakir miskin untuk mendatangi hidangan jamuan pernikahan kerana itulah sunnah dan bukannya menjemput mereka sebagai tetamu sampingan anda tetapi sebaliknya kepada merekalah jamuan pernikahan itu sepatutnya diadakan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Tahukah kamu (orang-orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, Dan tidak menganjurkan memberi Makan orang miskin.” (Al-Ma’un : 1-3)

Sabda Rasulullah SAW lagi : “Seburuk-buruk makanan yang dijamu ialah hidangan dalam majlis kenduri perkahwinan apabila orang-orang kaya dijemput dan orang-orang miskin tidak dijemput.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ingatlah selalu dalam Islam VVIP bagi umat ini ialah orang yang bertaqwa, orang alim dan anak-anak yatim serta fakir miskin dan mereka yang berada di dalam kesusahan.

Mereka inilah VVIP dan orang besar yang perlu diberi perhatian kerana rezeki dan pertolongan Allah SWT kepada anda sebenarnya bergantung kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW : “Tidaklah Kamu diberikan pertolongan dan rezeki oleh Allah melainkan kerana bantuan kamu kepada orang-orang yang lemah di sisi kamu.” (hadis riwayat Bukhari)

Anak-anak yatim itu bukan tetamu sampingan tetapi merekalah tetamu utama dan ini ialah Sunnah dalam mengadakan jamuan pernikahan.

Apabila prinsip-prinsip Sunnah di atas telah terpelihara seperti menjaga kebajikan orang-orang susah, mencapai maksud kesyukuran melalui kenduri perkahwinan yang diadakan maka janganlah pula anda yang menganjurkannya kemudian mencemari majlis untuk mensyukuri nikmat Allah SWT tersebut dengan maksiat.

Warna-warni kenduri perkahwinan di Malaysia

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu.” (Al-Ahzab : 33)

Kain satin yang licin sehingga mengundang mata-mata liar untuk memandang, baju kurung dan kain sampin yang dipakai sebagai hiasan kemegahan semuanya bukanlah membawa kepada kesyukuran dan kegembiraan yang dibenarkan. Dipersilakan buat pengantin untuk mengadakan jamuan dengan menjemput artis nasyid untuk menghiburkan tetamu, atau permainan akrobatik, wayang kulit, ceramah agama sebagai pengisian majlis, silakan kerana ianya bukan bid’ah yang dilarang bahkan termasuk adab dan akhlak pihak penganjur majlis untuk menghiburkan tetamu.

Adakanlah syair dan pertandingan berbalas pantun, ya silakan kerana tiada kesalahan.

Tetapi pakaian anda yang berkilau-kilauan, sendat kain satin dan baju kurung yang cantik mempesonakan itu sudah bukan sahaja menjadi bid’ah yang tercela bahkan termasuk tabarruj yang diharamkan.

Asingkanlah tempat duduk lelaki dan wanita dalam majlis kerana Allah SWT berpesan kepada kita supaya saling menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Jauhilah ikhtilat (percampuran bebas) lelaki dan wanita yang sering wujud dalam majlis-majlis perkahwinan. Malulah kerana sesungguhnya malu itu sebahagian daripada Iman.

Kenapa kau tabarruj wahai pengantin ?

Allah SWT berfirman : “Wahai anak Adam, Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. dan pakaian takwa Itulah yang paling baik. yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, Mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Al-A’raaf : 26)

Raja sehari bukan daripada adat dan amalan umat Islam bahkan bukan sekali dalam amalan Rasulullah SAW. Pada hari perkahwinan dan hari jamuan pernikahan bukan engkau yang makan dan dilihat oleh orang ramai atau bersanding dan didatangi oleh orang kebanyakkan tetamu lelaki dan perempuan.

Bukan engkau yang makan tetapi harus orang yang susah itu yang makan dan engkau wahai pengantin seharusnya tunggu dan tidak makan kerana melayani mereka. Itulah sunnah dan keraian sebagai tanda kesyukuran.

Pengantin jadi pelayan dan melayani tetamu kerana itulah sunnah walimah pernikahan.

Sahl bin Saad ra memberitahu bahawa Abu Usaid as-Sa’idi mengundang Rasulullah ke majlis jamuan pernikahan beliau dan ketika itu isterinya yang menjadi pengantin perempuan itulah yang sibuk melayani tetamu dan keperluan mereka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Beza sunnah dan bid’ah ialah apabila pengantin yang melahap sakan, makan dengan hidangan mewah yang berbeza dari tetamu yang lain sementara orang ramai berdiri meraikan mereka konon-kononnya merekalah raja seharian.

Itulah pembuat bid’ah di kalangan orang-orang Sunnah, mentah akal dan lemah pemikiran dalam memahami sunnah beragama dan bukanlah mereka pemuda dan pemikul amanah ummat, sekali tergoda oleh pakaian yang smart habis jatuh kredebiliti dan ketegasan beragama kepada adat dan khurafat.

Kesimpulannya, Yang sudah itu sudahlah, yang akan datang maka perbaikilah. Masih ada masa untuk kita semua insaf dan bertaubat sebelum ajal datang menghambat.

Lurus katakan lurus, yang bengkok katakan bengkok. Jelaskanlah yang sunnah daripada yang bid’ah agar kelak perkahwinan anda dapat membawa berkat dan semoga rumahtangga anda aman dan selamat.

Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.

1 comment:

  1. Good blog! You have described in a nice way.
    Thanks for sharing this information.
    Nikmat perkahwinan

    ReplyDelete