03 May 2011

Apabila Bangkai Terasa Nikmat

Ghibah adalah salah satu perbuatan keji yang mempunyai impak negatif. Benarlah pepatah yang mengatakan, "kerana lidah badan binasa."

     Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh sebab itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat 49: 12)
     Firman Allah s.w.t. ini cukup signifikan bagi wanita Muslimah. Apa tidaknya, larangan berupa perumpamaan dalam ayat di atas akan membuatkan wanita Muslimah tidak akan sekali-kali berani mendekati ghibah.
     Ayat ini menjadi dalil utama pengharaman ghibah. Pasti tiada seorang pun yang mengidam untuk menyantap daging saudaranya sendiri. Sungguh jijik perbuatan itu, jijik lagi perbuatan mengumpat yang sering dianggap perkara remeh.
     Terdapat banyak dalil lain yang mengharamkan ghibah. Bagi penulis, amat penting dalil sebegini diketengahkan bagi mencipta kesedaran dalam diri dan sebagai sumber muhasabah.
     Firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukan menjadi fasiq, maka) amat buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman." (Surah al-Hujurat 49: 12)
     Allah berfirman yang bermaksud: "Celakalah bagi tiap-tiap pencaci, pengeji." (Surah al-Humazah 104:1)

Apa itu Ghibah?
     Bagi mengelakkan kekeliruan dalam menentukan skop atau apa yang dikira sebagai ghibah, Rasulullah s.a.w. berteka-teki dengan para sahabat melalui sebuah hadis yang biasa kita dengar.
     Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. menyoal sahabat pada suatu hari: "Tahukah kamu apa itu ghibah?" para sahabat menjawab: "Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui." Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): "Ghibah adalah apabila engkau menceritakan tentang saudaramu sesuatu yang ia benci."
     Bertanya seorang lelaki: "Ya Rasulullah, bagaimanakah jika apa yang diceritakan itu benar ada padanya?" Rasulullah mejawab: "Kalau memang benar ada padanya, bererti engkau telah berbuat buhtan (Mengada-ada)." (Riwayat Muslim no.6758)
     Ghibah berasal daripada perkataan ghaba, yang bermaksud "ghaib". Oleh sebab itu, ghibah itu berlaku apabila empunya badan yang iumpati tiada bersama orang yang sedang mengumpat itu.


PENGECUALIAN
Agama Islam yang turun sebagai rahmatan li al-'alamin telah mengecualikan beberapa keadaan yang membolehkan ghibah seperti berikut:

  • Orang yang teraniaya boleh menceritakan kezaliman orang yang menganiayanya, namun konsep ghibah di sini terbatas dalam konteks menuntut keadilan. Allah berfirman yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan." (Surah al-Nisa' 4:148)
  • Dibolehkan juga ghibah bagi membantu seseorang yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar.
  • Bagi tujuan meminta fatwa, maka si penanya boleh menceritakan keburukan orang lain, tetapi terhad kepada skop permasalahan yang ditanya sahaja.
  • Memberi amaran kepada Muslimin yang lain tentang sesuatu kejahatan seperti ada perawi hadis yang cacat atau buruk akhlaknya, atau jika ada pelajar yang belakar daripada seorang guru yang jelas kefasiqannya dan pelbagai lagi contoh lain.
     Secanggih teknologi kini, teknik mengumpat juga tidak terbatas kepada ucapan melalui bibir semata, malah boleh jadi melalui tulisan, SMS, e-mel, online forum, facebook, bahasa badan (body language) dan sebagainya. Oleh sebab itu, wanita kini perlu lebih berhati-hati agar tidak sekali-kali "menikmati bangkai saudaranya".
     Elaklah daripada ghibah dengan rasa takut dan malu kepada Allah, sayang sesama saudara, tidak bercakap perkara yang sia-sia, sibukkan diri menilai keaiban diri sebelum melihat keaiban orang lain, bergaul dengan orang yang soleh dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment