04 May 2011

3 Jenis Musibah

Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan diri yang menerimanya dan bagaimana dia bertindak ketika menghadapi musibah tersebut.

1.Kafarah
     Berlaku musibah ke atas orang yang baik tetapi ketika itu dia terlanjur melakukan kejahatan kerana kelalaian dan tidak mampu melawan nafsu. Maka musibah itu diturunkan sebagai "tebusan" untuk menghapus dosa dan keterlanjuran itu. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepasan daripada dibalas di akhirat. Musibah ini lebih baik kerana azab dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.
    Ringkasnya, kafarah adalah ujian untuk "orang baik yang terbuat jahat". Dengan ujian itu, "orang baik" tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan keterlanjuran lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.
    Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Dan kami (Allah) timpakan kepada merea azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar." (Surah al-Zukhruf 43: 48)
    Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Dan kami pecahkan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan. Antara mereka ada yang soleh dan ada yang tidak sedemikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran." (Surah al-A'raf 7: 168)

2.Bala 
     Satu bentuk ujian yang dikenakan ke atas orang jahat yang melakuan kejahatan. Allah datangkan musibah itu sebagai hukuman dengan lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali. pertama di dunia, kedua di akhirat.
     Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas "orang jahat yang berbuat jahat". Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan oleh banjir, Firaun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum diseksa di akhirat.
     Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan azabkan mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat." (Surah al-Tawbah 9: 74)
     Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud: "Maka masing-masing (mereka) Kami seksa disebabkan dosanya, maka antara mereka kami kirimkan kepadanya hujan batu kerikil dan ada antara mereka yang ditimpa letupan suara yang menggempakan bumi dan ada yang Kami tenggelamkan di dalam laut, dan ingatlah Allah sekali-kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi mereka yang menganiaya diri mereka sendiri." (Surah al-'Ankabut 29: 40)

3.Ibtila'
     Musibah yang dikenakan ke atas orang baik ketika dia melakukan kebaikan. Musibah ini adalah tanda kasih sayang Allah kepada hanba-Nya yang taat. Dengan ibtila' seseorang hamba itu akan mendapat pahala berganda dan ditinggikan darjatnya disisi Allah. Dengan musibah, mereka mendapat pahala syahid, pahala sabar, pahala redha, pahala qanaah, pahala pemaaf, pahala bersangka baik dan sebagainya.
     Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, qanaah daripada Allah? Dengan bentuk ujian inilah ada dalam kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi (Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan Nabi Isa) - yakni mereka yang paling gigih, sabar dan tabah ketika menanggung musibah.
     Ringkasnya, ibtila' ialah ujian ke atas para Nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka sentiasa diuji dalam bentuk ibtila' ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran, supaya kita mengambil 'ibrah dan hikmah daripadanya.
     Allah s.w.t. mengingatkan menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Apakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepada kamu (ujian) penderitaan sebagaimana yang dideritai orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan mereka diancam bahaya sehinggalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya merintih: 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?'" (Surah al-Baqarah 2: 214)
     Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah mempunyai maksud-maksud yang baik di sebalik ujian itu. Apabila menerima musibah tidak sekalipun mereka mengeluh atau mengadu, "kenapa aku yang terkena?" disebaliknya mereka akan berkata, "aku telah terpilih."
Maksudnya, terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda.
     Untuk orang yang sabar, Allah menjanjikan: "sesungguhnya orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab." (Surah al-Zumar 39:10)
     Bagi yang syahid, maksud sabda Nabi s.a.w.: "Orang yang terbunuh di jalan Allah (syahid) dihapuskan dosa melainkan hutang."  (Riwayat Muslim no.4992)
     Atas dasar itulah sebahagian ulama salaf berkata "Andaikan tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari kiamat tanpa membawa pahala."

Orang yang derhaka yang ditimpa musibah

      Apakah petanda Allah tidak sayangkan mereka?
Jangan tersilap, malah dalam keadaan berdosa sekalipun, Allah datangkan ujian untuk kebaikan. Jika orang baik mendapat peningkatan darjat apabila menerima musibah, maka orang yang berdosa pula mendapat satu pengampunan dengan musibah (kafarah) yang diterimanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang Mukmin tertimpa musibah tertusuk duri atau lebih daripada itu, kecuali dengannya Allah akan menghapuskan sebahagian dosanya." (Riwayat Ahmad no.25338)

Kita harus bermuhasabah diri sendiri, ketika ditimpa musibah kita berada dalam golongan yang mana? Golongan yang diuji secara ibtila', kafarah atau bala? Paling tidak, biarlah kita diuji secara kafarah, yang dengannya kita akan menyegerakan taubat kepada Allah. Tagihlah janji Allah ini: "Dan apa sahaja musibah yang menimpa ke atas kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, maka Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan-kesalahanmu." (Surah al-Syura 42:30)

No comments:

Post a Comment