23 July 2011

Tersenyumlah Wahai Hati Yang Bersedih


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

     Saat kita menempuhi onak duri dunia, ya mungkin ada kalanya, kesedihan itu terus memanjat-manjat di dasar hati lantaran ada dugaan yang memedihkan dan mengusik ketenangan jiwa. Air mata seakan bersedia mahu keluar agar tidak terus berombak di kolam hati. Saat itu mungkin sabar tidak dikenali lagi. Dalam terharu, air mata tumpah juga, mengalir deras mengeringkan derita. Kemudian ada sedikit ketenangan mula menyusup membalut lara, sinar-sinar harapan menampakkan cahaya menyuluh jalan yang lebih bahagia. Keyakinan seakan tumbuh dari sokongan dan kesedaran, wajah mula tenang dan senyuman mudah terbentuk. Cerialah diri. Suka duka, sedih gembira bagaikan silih berganti. Wahai hati, ingatlah diri kita ini tidak hidup abadi. Esok, lusa, mana tahu kita akan mati.

     Wahai hamba Allah.. Jangan bersedih, kerana kita telah melalui kesedihan itu kelmarin dan ia sama sekali tidak memberi sebarang manfaat pun pada keesokan harinya. kesedihan demi kesedihan bakal membuat kita semakin terperuk dalam keputus asaan dan dunia yang luas dirasakan sempit dan tidak lagi berguna. Padahal, dunia inilah kesempatan untuk kita dekatkan diri kepada Allah untuk kita raih syurgaNya yang tersangat indah serta bebas daripada rasa kesedihan.Gara-gara kesedihan, air yang manis akan terasa pahit, makanan yang lazat terasa hambar dan bunga mawar yang mekar mewangi terus menjadi layu. Kita sendirilah yang menggerakkan saraf pemikiran kita, mengubah situasi kita, meletihkan hati kita dan menganggu tidur kita dengan rasa kesedihan itu.

     Sebelum emosi kita tidak dapat dikawal dek kesedihan yang mencengkam jiwa, kita perlu sedarkan diri kita tentang beberapa hakikat. Hakikat yang pertama, pastinya tiada insan yang mahu berasa sedih kan? semua insan mahu bahagia, mahu tersenyum sentiasa, betul bukan? Akan tetapi kita perlu juga akui bahawa hakikatnya hidup di dunia ini untuk berasa bahagia sentiasa tanpa sebarang dugaan dan ujian itu adalah impian yang tidak akan menjadi kenyataan. Diulangi, impian yang tidak akan menjadi kenyataan. Jadi, apa yang kita perlu lakukan ialah hadapi kesedihan itu. bersangka baik dengan kesedihan yang menyapa kita. Insya'Allah pasti ada hikmahnya. Allah menguji kita kerana Dia tahu kita mampu menghadapinya. Bersangka baiklah pada Allah, Allah tidak akan pernah mengecewakan kita. Yakinlah !

Ingatlah tangisan terindah itu apabila butir-butir airmata mengalir hangat di pipi lantaran terasa diri kita begitu kerdil di sisi Allah dan begitu berdosanya kita disisi Allah. Jika kita soal pada hati kita yang paling dalam. berapa banyakkah dosa kita? sikitkah? banyakkah? terhitungkah? Allahu Rabbi... Semoga Allah sentiasa mengampuni dosa-dosa kita serta menggerakkan hati-hati kita supaya sentiasa bertaubat kepadaNya agar diri kita tidak tenggelam dengan dosa-dosa yang menggelapkan hati lalu memadam Nur hidayah yang diidami..sama-sama kita renungi diri kita, moga Allah redha ke atas kita semua.

Lihatlah disekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu, sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus asa, senyuman yang kau berikan dan airmata yang kau titiskan, simpan.. jadikan tauladan, segala yang kau pandang dan dengar, simpan.. buat pedoman.

tersenyumlah Wahai Hati Yang bersedih ! :)

No comments:

Post a Comment