03 July 2011

Bab 06: Sifat-sifat Hari Kiamat



"Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang amat perit". (Surah Al-Qamar: 8)


     Allah menggambarkan sifat-sifat hari kiamat dengan gambaran yang mengerikan, terutama bagi orang yang semasa hidup di dunia tidak mentaati ajaran Allah SWT dan mengikuti Sunnah RasulNya. seperti contoh:


  1. Mereka datang secara tergesa-gesa untuk memenuhi panggilan Allah dengan mengangkat kepala mereka.
  2. Mata orang-orang yang zalim terbeliak.
  3. Mata mereka tidak dapat berkedip-kedip.
  4. Hati mereka kosong, kerana bingung menhadapi azab Allah sehingga mereka berkata: "Ya Tuhan kami, tangguhlah kami (kembalikan kami ke dunia) walaupun dalam waktu yang sedikit, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti rasul-rasul.
  5. Bumi diganti dengan bumi yang lain dan (demikian pula) halnya langit.
  6. Mereka semuanya berkumpul di padang Mahsyar untuk berhadapan dengan hadrat Ilahi yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
  7. Pada hari itu diperlihatkan hukuman bagi orang-orang yang berdosa yang dalam keadaan diikat dan dibelenggu.
  8. Pakaian mereka diperbuat dari jilatan api neraka.
  9. Muka mereka ditutupi oleh api neraka, sebagai balasan Allah kepada tiap-tiap orang, terhadap amalan mereka yang buruk di dunia.
  10. Mereka menundukkan pandangan-pandangan mereka sambil keluar dari perkuburan, seakan-akan mereka kepupu yang keluar dari kepompong yang berterbangan.
  11. Mereka datang dengan cepat untuk memenuhi panggilan Malaikat seraya berkata: "Ini adalah hari yang berat".
     Gambaran tersebut telah diterangkan didalam Al-Quran yang berbunyi: "Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku permandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkedip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas). Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka melupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu (untuk mengEsakanMu dan mentaati perintahMu), dan supaya kami menurut agama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada mereka): "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan? "Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta telah ternyata kepada kamu dengan bukti-bukti yang jelas bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam Al-Quran dan melalui sabda Rasul)". Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menetang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-gunung sekalipun. Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri janjiNya kepada Rasul-rasulNya; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepadaNya). (Ingatlah) masa di bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun menghadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka. (Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan; Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya. (Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf." (Surah Ibrahim: 42-52)

"Oleh itu, berpalinglah dari mereka (wahai Muhammad dan janganlah dihiraukan). (Ingatlah) masa (Malaikat_ penyeru menyeru (mereka pada hari kiamat) kepada perkara yang tidak diingini (oleh orang yang bersalah); (Pada saat itu) masing-masing dengan keadaan menundukkan pandangannya kerana ketakutan keluar dari kubur seperti belalang yang terbang bertebaran. Masing-masing dengan cepatnya menuju kepada penyeru itu. (Pada saat yang demikian), orang-orang yang kafir berkata: Hari ini ialah hari yang sukar!." (Surah Al-Qamar: 6-8)

Dipetik dari: Buku Menyangkal Kiamat 2012

No comments:

Post a Comment