06 August 2011

Tiba-Tiba...


Tiba-tiba...

     Ahlan wa sahlan Ramadan. Bergema ucapan alu-aluan daripada Muslim yang rindu akan bulan pesta ibadah ini. Kesabaran menunggu selama ini yang kini menjelma di depan mata disambut dengan lafaz syukur serentak dengan sujud syukur. Alhamdulillah ya Allah! Engkau ketemukan aku lagi dengan Ramadan, yang padanya ada sesuatu yang didamba kekasih-Mu.

     Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Jika bulan Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu." [Riwayat al-Bukhari & Muslim].
     Mungkin berkat syaitan yang dirantai, maka ramai manusia berwajah iman. Topeng syaitan ditanggalkan seketika. Apabila mereka berwajahkan iman sepanjang Ramadan, maka apa yang terjadi ialah ibadah mengejut.

     Tiba-tiba ibadah digandakan...
     Tiba-tiba bangun qiamullail...
     Tiba-tiba tahap kesabaran meningkat...
     Tiba-tiba segala yang lagha itu semua ditinggalkan...
     Dan macam-macam lagi.

     Okey, tidak mengapa seandainya ibadah sepanjang bulan Ramadan dilakukan dengan mengejut. Tidak mengapa jika malaikat Raqib sibuk sedikit dan Atid pula tidak disibukkan untuk merekodkan amalan buruk seseorang. Alhamdulillah jika itu yang berlaku sepanjang Ramadan.

     Namun, jangan ulangi kejutan berupa "tiba-tiba" itu seawal hari pertama graduate dari madrasah Ramadan.

     Tiba-tiba makan banyak...
     Tiba-tiba mendedahkan aurat...
     Tiba-tiba terlupa di mana Al-Quran...
     Tiba-tiba meninggalkan amalan solat-solat sunat yang sepanjang Ramadan dikerjakan seolah-olah wajib...
     Tiba-tiba memulakan kembali semua agenda lagha.

     Apakah semua ini? Adakah ini satu perbuatan membalas dendam? Balas dendam kepada siapa pula ini?

     Tidak mengapa jika tiba-tiba mengerjakan ibadah seolah-olah esok sudah tiada. Namun adalah sesuatu yang tidak patut tiba-tiba "bertanduk" sebaik takbir syawal bergema. Koreksilah diri. Apa niat utama kita berpuasa sebulan? Adakah sekadar ingin berpuasa dan fokus kepada ibadah hanya dalam tempoh sebulan sahaja? Adakah ibadah sepanjang bulan Ramadan dapat menebus semua kealpaan kita daripada mengingati Allah 11 bulan berbaki? Jadi sama-samalah kita renungkan...

No comments:

Post a Comment