06 August 2011

Tahukah Anda?



Apabila orang yang gila yang kembali waras, maka dia tidak wajib untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan ketika dia tidak waras, sama ada gilanya itu sekejap ataupun lama.


Wanita yang berada dalam keadaa haid perlu menggantikan puasa yang ditinggalkan, tetapi tidak perlu menggantikan solat yang ditinggalkan. Daripada Aisyah r.ha., beliau berkata: "Kami diperintahkan untuk menggantikan puasa, dan kami tidak diperintahkan untuk menggantikan solat." [Riwayat al-Bukhari & Muslim]


Orang yang berpuasa disunatkan mandi selepas berjunub sebelum terbit fajar supaya bersih semula dari awal pagi. Sekiranya dia tidak mandi, puasanya tetap sah kerana berjunub pada malam hari tidak membatalkan puasa. Tetapi seelok-eloknya disegerakan mandi wajib supaya tidak meninggalkan solat fardu dengan sengaja.


Tidak menjadi kesalahan bagi seseorang  itu melaksanakan solat sunat Witir selepas solat sunat Tarawih. Namun, lebih afdal jika dia mampu untuk bangun pada waktu malam dan melakukan solat Witir sesudah solat-solat sunat lain dan kemudian bersahur.


Orang yang sakit tetapi tidak mendatangkan kemudaratan yang jelas, maka tidak dibenarkan berbuka. Tetapi jika sebelah pagi dia berpuasa kemudian jatuh sakit pada waktu tengah hari, maka dibolehkan baginya untuk berbuka. Sekiranya seseorang pesakit berpuasa dan kemudian telah sembuh, maka dia tidak boleh berbuka kerana keringanan baginya telah hilang.


Antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan terbuka seperti mulut, hidung, telinga, faraj dan dubur. Memasukkan sesuatu ke dalam badan dengan suntikan melalui saluran darah, menyuntik di bawah kulit atau ke dalam badan, tidak membatalkan puasa contohnya suntikan bertujuan perubatan seperti membius. Ini adalah pandangan yang disepakati oleh imam-imam empat mahzab. Pandangan ini juga turut dikemukakan oleh Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradawi. Menurut beliau, benda yang masuk melalui suntikan itu tidak masuk ke dalam badan melalui saluran terbuka dan perbuatan itu tidak menafikan hikmah puasa iaitu berlapar dan menahan diri. Namun ada sesetengah ulama hari ini mengecualikannya daripada suntikan makanan, iaitu jika disuntik itu bahan makanan seperti glukosa dan sebagainya, maka batal puasa kerana mengambil kedudukan seperti makan dan minum.


Memakai gincu pada bulan Ramadan tidak membatalkan puasa selagi mana tidak bercampur dengan air liur dan ditelan sehingga memasuki kerongkong. Hukumnya sama seperti menggosok gigi dengan ubat gigi. Tetapi dari segi hukum berhias, tidak harus perempuan bertabarruj dan berhias untuk lelaki selain suaminya. Seandainya sekadar menampakkan warna asal dan menjaga kelembapan bibir, ia diharuskan.

Mandi pada waktu petang kerana panas dan haus bukanlah makruh seperti yang didakwa sebilangan masyarakat, bahkan termasuk dalam perkara-perkara sunnah sebagaimana kata-kata Abu Bakar r.a.: "Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-Arj (sebuah tempat), Baginda menyiram air ke kepalanya dalam keadaan Baginda berpuasa, kerana dahaga atau kepanasan." [Riwayat Abu Daud]

No comments:

Post a Comment