11 August 2011

Menhidupkan Hari-Hari Terakhir Ramadan


Adakah kita benar-benar memahami makna hari-hari terakhir Ramadan? Khalifah Ibn Abdul Aziz memerintahkan seluruh rakyatnya supaya mengakhiri puasa dengan memperbanyakkan istighfar dan memberikan sedekah. Ini kerana istighfar dan sedekah dapat menampal amalan puasa kita yang berlubang atau pecah. Menapak hari-hari berlalunya Ramadan, semestinya kita semakin kerap melakukan muhasabah diri.


"Wahai orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah
setiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok
dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
apa yang kamu kerjakan." [Al-Hasyr: 18]

Marilah kita bandingkan kemeriahan anak kita dengan kesayuan anak di Iraq, Yogyakarta dan Lubnan yang dikejutkan dengan bunyi dentuman roket, bom dan rempuhan kereta kebal. Anak-anak dan ibu dikejut dengan bedilan mortar askar penceroboh pada waktu sahur, tangan mereka diikat, hanya atas nama memerangi keganasan dan menggembalikan keamanan. Apakah yang membezakan kita dengan mereka?.

Semakin akhir Ramadan seharusnya kita semakin bersedih kerana sebenarnya tidak layak untuk syurga, tetapi kita tidak sanggup menahan api neraka. Rasulullah menyuruh umatnya melipatgandakan amalan menjelang akhir Ramadan.

Rebutlah peluang beristighfar dan memohon kelepasan daripada api neraka pada Ramadan ini. Jangan biarkan Ramadan berlalu dan kekesalan kerana tidak memanfaatkan kemuliaannya.

Artikel dipetik dari: Buku Remeh-Temeh Tentang Puasa

No comments:

Post a Comment