25 April 2011

Makhluk-Makhluk yang Takkabur Dalam Al-Quran


Syaitan, Firaun, Namrud, Yahudi adalah antara ikon takkabur menolak kebenaran dalam keadaan mereka tahu ianya satu kebenaran.

  • Apakah iblis tidak tahu kelebihan Adam setelah melihat kelebihannya yang mengetahui nama-nama benda (asma'a kullaha)?
  • Bukankah yahudi lebih mengenal Nabi Muhammad s.a.w. lebih daripada mereka mengenal anak-anak mereka (Yakrifunahu kama yakrifuna abna'ahum)?
  • Lihat pula bagaimana namrud yang sudah kalah dalam berhujah dengan Nabi Ibrahim a.s. tetapi masih enggan menerima kebenaran dan terus berkeras menegakkan benang yang basah!
  • Dalam Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf, Prof. Dr. K. H. Muhibbuddin Waly mencatatkan mengenai firaun: "Firaun yang sihat sepanjang 400 tahun berasa hairan terhadap dirinya sendiri. Keadaan ini kemudiannya membuahkan rasa takabur hingga sanggup mengakui dirinya sebagai tuhan yang maha tinggi."
  • Begitu juga Qarun yang dirosakkan oleh potensi hartanya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang Mukmin) ketika bercakap-cakap dengan dia, 'Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat.'" (Surah Al-Kahfi 18:34)
Allah berfirman yang bermaksud: "Maka kami benamkan harta Qarun serta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya)." (surah Al-Qasas 28:81)
  • Bal'am bin Baura, seorang ulama besar pada zamannya dihancurkan oleh ilmu dan amalannya. Allah menempelak Bal'am dan mereka yang seumpamanya menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia pun menjulurkan lidahnya juga." (surah Al-A'raf 7:176)
  • Kisah Haman terungkai dalam surah Ghafir ayat 24, firman Allah yang bermaksud: "Dan (juga) Qarun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi mereka berlaku sombong di (muka) bumi, dan tiadalah mereka orang yang luput (dari kehancuran itu)."
  • Terdapat satu surah khas yang didedikasi kepada Abu Lahab iaitu surah Al-Masad. Surah ini menceritakan tentang Abu Lahab dan isterinya yang menentang Rasul s.a.w. Kedua-duanya akan celaka dan masuk neraka. Hartanya tidak berguna untuk keselamatannya, demikian juga segala usahanya. Kisah Abu Lahab berakhir dengan azab seksa yang pedih.

No comments:

Post a Comment