30 April 2011

Akibat Zalim Terhadap Insan Lemah




Dicerita bahawa pada suatu hari seorang lelaki Bani Israel bermain-main ditepi laut. Di sana dia melihat seorang lelaki kudung sebelah tangannya hingga paras bahu berdiri di atas batu di tepi pantai itu. "Wahai hamba Allah! Sesiapa yang melihat keadaanku ini, awas jangan sampai berlaku zalim kepada sesiapa pun." Kata lelaki kudung itu. "Apa maksudmu?" "Mengapa engkau berkata demikian?" Tanya lelaki Israel yang bermain-main di tepi pantai itu.

"Panjang seritanya".

"Apa itu? Sila ceritakan".

Lelaki kudung itu menceritakan bahawa dulu dia adalah seorang anggota polis. Suatu hari ketika sedang meronda di tepi laut, dia melihat seorang nelayan sedang memancing dan kebetulan ketika itu, dia sedang memperoleh ikan yang bagus. Si polis mendekati nelayan itu dan berkata, "Berikan padaku ikan yang baru kamu tangkap itu."

"Tidak boleh." Jawab si nelayan.

"Kalau begitu aku akan membayar harganya, berapa engkau mahu?" Tanya polis itu.

"Aku tidak ingin menjualnya." Kata nelayan lagi."

Polis itu marah, lalu dipukulnya kepala nelayan itu dengan kayu belantannya dan ikannya diambil secara paksa lalu dibawanya pulang. iba-tiba ikan yang masih hidup itu menggigit ibu jari tangannya. Dia menjerit kesakitan dan berusaha untuk melepaskan gigitan itu, tapi sia-sia. Jiran-jirannya segera datang membantunya. tapi sia-sia juga. Selepas bersusah payah, barulah gigitan ikan itu berjaya mereka lepaskan. Mungkin kerana ikannya sudah mati.

Walau demikian, kesan gigitan itu masih ketara bengkak dan masih terasa sakit. Dia segera pergi berjumpa doktor unuk mendapatkan rawatan.

"Tanganmu tidak akan sembuh, bahkan akan membawa pada kematian, kecuali ibu jari dipotong." Kata doktor setelah melakukan pemeriksaan.

"Kalau sudah tidak ada cara lain.terpulang kepada tuan doktor." Kata polis.

Maka dipotonglah ibu jarinya. Akan tetapi penyakitnya merebak pula pada tapak tangannya sehingga membuat dia tidak boleh tidur kerana terlalu sakit. Doktor yang memeriksanya mengusulkan agar tapak tangannya dipotong pula separas pergelangannya kerana penyakitnya tidak boleh disembuhkan kecuali dengan cara itu. Dia pun menurut. Maka dipotonglah tapak tangannya. Tiba-tiba penyakitnya merebak pula ke lengan. Akibatnya doktor terpaksa memotong lengannya pula. Kini dia telah kudung sehingga ke paras siku. Akan tetapi tiba-tiba bisa ikan itu merebak pula keatas sikunya hingga ke bahu dan dibawanya kepada doktor lagi.

"Penyakitmu tidak akan sembuh kecuali tanganmu dipotong hingga ke paras bahu." Kata doktor.

"Buatlah apa-apa yang patut, aku sudah tidak kuat lagi menahan sakitnya." Katanya. Untuk kali keempat tangan orang zalim itu dipotong lagi. Kini sebelah tangannya telah hilang seratus peratus. Mungkin selepas itu penyakitnya akan hilang seratus peratus atau mungkin selepas itu penyakitnya akan mereba pada badannya pula. Nasib baik ada seorangvarif yang baik hati datang bertanya keadaannya.

"Apa mula-mula yang menyebabkan penyakitmu itu?" Tanya orang arif. Orang kudung itu mula menceritakan asal mulanya dengan jujur, yakni akibat digigit ikan yang diambil secara paksa dari seorang nelayan. Diceritakan pula bahawa dia telah memukul kepala nelayan tersebut.

"O...begitu" kata orang arif. "Sekiranya sejak mula lagi engkau pergi kepada nelayan yang engkau aniayai untuk memohon maaf dan minta dihalalkan ikannya, Insya'Allah tanganmu tidak akan sampai terpotong. Sekarang, sebaiknya engkau pergi kepada nelayan itu untuk memohon maaf dan minta dihalalkan apa yang engkau ambil itu sebelum penyakitmu merebak ke seluruh badan."

Polis itu segera mencari nelayan yang telah dianiayanya dan menjumpainya. Dia terus mencium kaki nelayan dan minta maaf.

"Tuan, aku mohon maaf kepadamu." Kata polis itu.

"Siapa engkau ini?" Tanya nelayan.

"Aku adalah orang yang merampas ikanmu dahulu." Kata polis.

Lalu dia menceritakan apa yang terjadi ke atas dirinya selepas kejadian itu dan diperlihatkannya pula tangannya yang kudung dan telah empat kali dipotong. Mendengar keterangan itu, si nelayan menangis, lebih-lebih lagi setelah melihat tangan si polis yang tinggal sebelah saja.

"Aku halalkan apa yang engkau ambil dan aku maafkan engkau, setelah aku melihat keadaanmu itu." Kata nelayan.

"Terima kasih tuan."

"Tapi ingat, lain kali jangan berbuat zalim lagi." Pesan nelayan.

"Apakah engkau berdoa kepada Allah ketika aku merampas ikanmu dengan kekerasan?" Tanya orang yang kudung.

"Ya,saya berdoa kepada Allah, "Wahai Allah, orang itu telah menganiaya diriku dengan kekuatan dia atas kelemahanku. Oleh kerana itu balaslah dia dan tunjukkan kekuasaanmu kepada ku terhadap orang itu."

"Kini Allah telah memperlihatkan kekuasaanNya kepadamu terhadap diriku." Kata orang yang kudung itu. Sebagai mengakhiri ceritanya, bekas polis Bani Israel itu berkata: "Sekarang aku telah bertaubat kepada Allah dari semua kesalahanku yang telah ku lakukan pada masa-masa yang lalu."

No comments:

Post a Comment