20 June 2011

Empat Faktor Menghambat Rasa Takut Kepada Allah SWT



     Para Ulama' menyebutkan, bahawa ada empat faktor yang menyebabkan seseorang tidak takut kepada Allah SWT:

Faktor Pertama: Kelalaian.
     Apabila kelalaian sudah melekat pada hati, maka hati menjadi sukar untuk lurus dan konsisten, bahkan dia enggan untuk berzikir dan tidak peduli untuk selamanya.

     Allah SWT telah menjelaskan bahawa ada sebahagian manusia yang mempunyai hati, tetapi mereka tidak memahami sesuatu dengannya. Mereka mempunyai telinga, tetapi mereka tidak mendengar dengannya. Mereka juga mempunyai penglihatan, tetapi mereka tidak melihat dengannya.

Allah SWT berfirman: Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati... (Qaf: 37)

     Setiap manusia mempunyai hati, akan tetapi hanya sebahagian sahaja yang mempunyai hati yang hidup. Sementara sebahagian lagi mempunyai hati yang sakit.

Allah SWT berfirman: .....ataukah hati mereka terkunci? (Muhammad: 24)

     Apabila kelalaian sudah meliputi hati, maka dia akan melupakan janji Allah SWT dan lupa untuk berzikir kepadaNya. Sekalipun kamu menasihatinya, dia tidak akan memahami dan tidak akan memikirkannya, kerana hatinya sudah tertutup, maka untuk selamanya dia tidak akan sedar dan dapat berfikir.

Faktor Kedua: Kemaksiatan.
     Kerana kemaksiatan adalah faktor utama yang akan menghalangi seorang hamba daripada Allah.

Allah SWT berfirman: .....gelap-gelita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) sesiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun. (An-Nur: 40)

     Apabila kemaksiatan sudah banyak, hati semakin gelap dan tidak berfungsi. Pertama, kemaksiatan akan menimbulkan kesempitan, lalu menimbulkan kegelapan, akhirnya hati akan tertutup. Tertutupnya hati merupakan tahap akhir dan itulah musibah yang menimpa orang-orang kafir. Sedangkan kerasnya hati menimpa orang yang fasiq dan dorongan nafsu menimpa hati orang beriman.

     Oleh kerana itu, dalam kitab Shahih Muslim, Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia, bertaubatlah kalian kepada Allah dan mintalah ampun kepadaNya, kerana sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah sebanyak seratus kali setiap hari. (Muslim, no.2702 dan Ahmad, no.17391)

     Dalam riwayat lain dikatakan: Lebih daripada tujuh puluh kali.

     Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Al-Aghar Al-Muzani r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia, bertaubatlah dan mintalah ampun kepada Allah, kerana hati saya terasa sempit dan gundah. Dan saya meminta ampun kepada Allah sebanyak seratus kali setiap hari. (Muslim, no.2702 ; Ahmad, no.17827 dan Abu Daud, no.1515)

     Sedangkan mengenai kegelapan, Allah SWT berfirman: Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka. (Al-Muthaffifiin: 14)

     Maksudnya; bahawa hati mereka menjadi gelap dan tertutup, ini mencakupi orang yang fasiq dan orang kafir.


Faktor Ketiga: Menimbulkan Kurangnya Rasa Takut Kepada Allah dan Bahkan Hilangnya Rasa Takut Adalah Berlebih-lebihan Dalam Hal-Hal Yang Mubah (Boleh).
     Disinilah kebanyakkan manusia terjatuh dan terjerumus. Seperti bermegah-megahan dan memperbanyakan kekayaan duniawi, lebih mengutamakan dunia daripada akhirat. Bahkan mengutamakan dunia daripada tuntutan-tuntutan akhirat dan tuntutan-tuntutan Allah SWT.

Faktor Keempat: Menyia-yiakan waktu.
     Barangkali perkara utama yang akan dihisab daripada seorang hamba pada hari qiamat kelak adalah waktu yang dia sia-siakan di hadapan Allah SWT.

     Kebanyakkan kaum Muslimin tidak membuat perhitungan dengan waktu mereka. Justeru mereka lebih sibuk menhitung-hitung wang, harta, dinar dan dirham, sehingga hari-hari dan malam-malam mereka berlalu, sementara mereka tidak pernah memikirkannya.

     Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman: Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) 'Arasy yang mulia. (Al-Mu'minun: 115-116)

     Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda: Kedua kaki seorang hamba tidak akan tergelincir di hari qiamat kelak, sehingga ia ditanya tentang empat perkara: (Tentang masa mudanya, untuk apa dia pergunakan? Tentang umurnya, untuk apa di manfaatkan? Tentang ilmunya, apa yang dia perbuat dengannya? Dan tentang hartanya, dari mana ia mendapatkannya dan untuk apa ia belanjakan?)" (At-Tirmidzi, no.2517 dan Ad-Darimi, no.537. Lihat Majma' Az-Zawa'id, no.18371 dan At-Targhib wat-Tarhib, no.210)

     Oleh kerana itu, dalam kitab Shahih Al-Bukhari, Abdullah bin Abbas r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Ada dua ni'mat yang sering dilalaikan oleh kebanyakan manusia; ni'mat kesihatan dan ni'mat waktu luang (kosong). (Al-Bukhari, no.6412; Ahmad, no.2336, 3197 dan At-Tirmidzi, no.2304)

     Cara terbaik untuk memanfaatkan waktu adalah dengan menjalankan segala kewajipan.

     Tatkala Ibnu Taimiyyah ditanya tentang apakah penyelesaian daripada penyakit syubhat dan syahwat? Dia menjawab: Barangkali perkara yang paling efektif untuk mengubati penyakit ini adalah memperbaiki ibadah-ibadah yang wajib, sama ada yang zahir mahupun yang batin."

      Maksud daripada memperbaikinya secara batin, iaitu kamu sentiasa mengikhlaskan maksud daripada semua amal perbuatanmu hanya kerana Allah semata-mata. Jika kamu sudah menegakkan kedua kakimu untuk sembahyang, kamu mesti mengingatinya bahawa kamu akan berdiri seperti ini kelak di hadapan Allah SWT. Beginilah cara mengikhlaskannya secara batin. Sedangkan maksud daripada memperbaikinya secara zahir, iaitu kamu sentiasa mengikuti ajaran (sunnah) Rasulullah SAW.

     Setelah ibadah-ibadah yang wajib, kamu membekali dirimu dengan ibadah-ibadah yang sunat. Tidaklah seorang hamba bersujud sekali sahaja kepada Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.

     Ibnu Jauzi, dalam kitab Shaidul Khathir berkata: "Oh..... betapa aneh sekali orang yang mengetahui dia akan mati, mengapa dia tidak menjadikan setiap nafasnya untuk ketaatan kepada Allah?"

     Dia juga berkata dalam hadith shahih, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang mengatakan "Subhanallahil 'azimi wa bihamdih" (Maha Suci Allah yang Maha Agung dan bagiNya segala puji), di syurga dia akan memperolehi satu pohon kurma. (At-Tirmidzi, no.3464, 3465; An-Nasa'i dalam As-Sunan Al-Kubra, no.10561; Ibnu Hibban, no.803; Al-Hakim, no.1883, 1924. Lihat Al-Misykat, no.2304)

     Lalu beliau berkata: Oh.....Maha Suci Allah, berapa banyak pohon kurma yang telah kita sia-siakan, kerana kita tidak bertasbih kepada Allah SWT."

     Pada jilid ke-10 daripada kitab Majmu' Al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah pernah ditanya oleh Abul Qasim Al-Maghribi: "Cuba tunjukkan kepadaku, ibadah apakah yang paling mulia setelah ibadah-ibadah wajib?" Ibnu Taimiyyah menjawab: "Ibadah yang paling mulia dan utama setelah ibadah-ibadah wajib adalah zikir kepada Allah. Ini adalah ibadah paling mudah. Begitulah kira-kira ijma' ulama'."

     Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman: .....Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. (Ar-Ra'd :28)

     Allah SWT juga berfirman: Kerana itu, ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu..... (Al-Baqarah: 152)

     Di sini saya berwasiat kepada diri saya sendiri dan kepada kalian semuanya untuk sentiasa memelihara waktu dengan berzikir kepada Allah SWT.

Dipetik dari: Buku Ihfazillah yahfazka.

No comments:

Post a Comment