19 June 2011

4 Faktor Menghadirkan Rasa Takut Kepada Allah


     Ada empat faktor yang dapat menghadirkan rasa takut kepada Allah SWT pada diri seorang hambaNya yang beriman. Apabila dia mengingati dan merenungkan keempat-empat perkara ini, dia akan memperolehi kelembutan hati dan akan mengingati janji dan pertemuan dengan Allah SWT.

     Faktor Pertama: Ziarah ke kubur, kerana di sana terdapat anak-anak, cucu-cucu dan nenek-moyang. Di sana juga terdapat para kekasih, teman dan sahabat.

      Seorang penyair menuturkan:

      Itulah kematian yang tidak ada tempat berlindung dan lari darinya
      Jika yang satu diturunkan dari kerandanya, maka yang lain akan menaikinya
      Kita terus buat angan-angan dan berharap memetik hasilnya
      Namun ketuaan yang membinasakan lebih dekat dari apa yang kita angan-angankan
      Kita bangun gedung-gedung yang menjulang tinggi
      Padahal kita tahu bahawa kita pasti mati dan gedung-gedung itu pasti hancur


     Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda: Ziarahlah ke kubur, kerana dia akan mengingatkan kepada kematian.

     Pada lafaz yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dikatakan: Sesungguhnya kubur dapat mengingatkan kalian pada negeri akhirat.

      Tatkala Rasulullah SAW menziarahi tempat permaqaman, Baginda bersabda: Kesejahteraan bagi kalian, wahai para penghuni tempat orang-orang yang beriman dan kami insya'Allah akan menyusul kalian. Semoga Allah merahmati orang-orang yang telah didahulukan dan yang mengakhirkan di antara kita semua.

      Pada riwayat lain ada tambahan: Kami memohon kesihatan dan afiat untuk kita semua. (Al-Bukhari, Ahmad & Nasa'i)

      Para salafus shalih terdahulu seringkali menziarahi kubur.

      Mutharrif bin Abdullah As-Sakhir (dia salah seorang salafus shalih terkemuka) dalam biografinya mengatakan: Saya datang dari bukit Bahsrah menuju negeri Bahsrah untuk melaksanakan sembahyang Juma'at di masjid Jami' Bahsrah. Saya datang sejak malam hari. Jika saya datang pada malam hari, saya akan menziarahi kubur. Saya selalu mengucapkan salam dan berdo'a yang banyak untuk mereka. Namun pada suatu malam lantaran hujan turun dengan lebatnya dan udara yang sangat dingin, aku tidak pergi untuk berdo'a dan memberi salam. Di kala saya tidur malam itu, saya bermimpi bertemu dengan seorang lelaki daripada penghuni kubur tersebut, dia berbicara kepada saya dan berkata: "Wahai Matharrif, pada malam ini kamu tiada melantunkan do'a untuk kami. Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya Allah menerangi kubur kami selama seminggu dengan do'amu itu."

      Oleh sebab itu, salah seorang salafus shalih (iaitu; Muhammad bin Wasi') berkata: Saya melalui di sebuah kawasan kubur dan berkata: "La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah." Tiba-tiba saya mendengar suara dari kubur tersebut berkata: "Wahai Muhammad bin Wasi', bekalilah dirimu dengan kalimah itu. Demi Allah, jika kamu mengetahui pahalanya, kamu akan mangucapkannya pada setiap nafasmu. Sesungguhnya kami sudah terhalang daripada kalimah Laa Ilaha Illallah, kami tidak mampu lagi mengucapkannya."

      Siapakah yang akan melaksanakan sembahyang untukmu jika kamu tidak melaksanakan sembahyang dalam hidupmu?

      Siapakah yang berpuasa untukmu jika kamu tidak berpuasa?

      Siapakah yang akan membayarkan sedekah (zakat)mu?

      Siapakah yang akan memperbaiki budi pekertimu?

      Siapakah yang akan memberi kebaikan kepadamu?

      Sesungguhnya amal perbuatan sudah terputus dan hanya amal shalih inilah yang sentiasa dekat dan berguna di sisi Allah SWT.


Faktor Kedua: Selalu mengingati kematian, sama ada di pagi hari mahupun di petang hari. Bahkan, ketika ia akan berbaring di tempat tidurnya.

      Fatimah binti Abdul Malik, isteri daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a. berkata: Apabila Umar hendak berbaring ke tempat tidurnya, dia menggigil seperti burung yang kedinginan. Saya bertanya: "Wahai Amirul Mu'minin, mengapa tuan belum tidur lagi?" Umar r.a. menjawab: "Bagaimana mungkin saya boleh tidur, sesungguhnya katil ini telah mengingatkanku kepada kubur."

      Imam Az-Zahabi meriwayatkan daripada Sufyan Ats-Tsauri bahawa dia pernah membaca firman Allah SWT: Bermegah-megahan telah melalaikan kamu sehingga kamu masuk ke dalam kubur. (At-Takatsur: 1-2)

      Selepas sembahyang Isya' hingga sembahyang Subuh, apabila dia beranjak untuk tidur, dia berkata: "Bagaimana mungkin saya boleh tidur, sementara kubur sudah berada di depan saya?"

Faktor Ketiga: Selalu mengingati, bahawa azab Allah SWT sangat pedih. Jika Allah mengazab hambaNya, Dia tidak akan mengasihinya sedikitpun. Jika Allah menyeksa hambaNya, Dia menyeksanya dengan seksaan yang sangat pedih.

      Oleh kerana itu, Khalifah Umar bin Al-Khaththab r.a. dalam suratnya kepada para gabenornya, berkata: "Ketahuilah, bahawa seksa Allah sangat pedih, apakah kamu telah melupakannya?"

      Umar bin Abdul Aziz r.a. berkata kepada Adi bin Artha'ah: "Wahai Dzat yang Maha Suci, apa yang membuat anda berbuat zalim dan bertindak sewenang-wenang? Tidakkah kamu pernah melintasi kawasan kubur? Tidakkah kamu mengetahui bahawa azab Allah SWT itu sangat pedih?"

      Menghadirkan keagungan dan kebesaran Allah dan mengingatiNya adalah faktor ketiga yang dapat menimbulkan rasa takut kepada Allah SWT.

Faktor Keempat: Sentiasa waspada terhadap pandangan Allah SWT. Ibnu Taimiyyah berkata: "Hati adalah rumah Allah. Rumah ini tidak akan baik, tidak akan kukuh dan tidak akan berkata jujur kepada Allah, melainkan kamu memperhati dan menyedari bahawa Allah SWT melihatmu."

      Apabila Imam Ahmad bin Hanbal masuk kedalam rumahnya, dia duduk bersila sendirian, penuh dengan kekhusyu'an dan rasa takut yang amat sangat. Mereka bertanya kepadanya: "Wahai Imam, kalau tuan duduk bersama orang ramai kamu tidak khusyu', tetapi kalau tuan duduk sendirian, tuan sangat khusyu'?" Dia menjawab: Allah SWT berfirman (hadith Qudsi): "Aku adalah teman duduk bagi orang yang mengingatiKu." Bagaimana mungkin saya tidak khusyu' dengan Allah SWT?"

      Inilah salah satu faktor yang paling penting dan utama untuk menimbulkan rasa takut kepada Allah SWT, iaitu hendaklah seorang mu'min memperhatikan dan menyedari bahawa pandangan dan pengawasan Allah SWT sentiasa menyertainya di mana sahaja. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihatmu." (Al-Bukhari & Muslim)

Dipetik dari: Buku Ihfazillah yahfazka

No comments:

Post a Comment